Saturday, October 9, 2010

-PANTULAN UJIAN-



"Ya Allah bukan tujuan kami ini ingin mendabik dada apabila berkata-kata. Jangan Engkau uji kami seperti mereka yang hendak kami tegur ini, kerana bila mana Engkau datangkan ujian seperti mana mereka lalui ke atas diri kami, nescaya tidak ada sesiapa lagi yang akan menegur mereka.” 


Penulis mulakan dahulu penulisan kali ini dengan kata-kata nasihat seorang sahabat kepada penulis, lantaran kekadang kita sebgai manusia sering terlupa terhadap tindakan yang dilakukan. Mungkin ramai para pembaca sudah mengetahui objektif penulisan ini yang hanya akan memotifkan hikmah pendakwah semasa berdakwah, namun tinta ini mempunyai maksud yang lebih besar seperti yang difikirkan.


Pada zaman kerajaan Bani Umaiyah, Kalifah Harun ar-Rasyid didatangi oleh seorang ulama yang ingin menegur pemerintahan baginda, akan tetapi ulama tersebut telah menggunakan bahasa yang sangat kasar dan pedas untuk menegur khalifah.


Khalifah Harun : “ Cubalah engkau berbicara dengan baik kepadaku.”


Ulama: Itu adalah yang paling minimum untuk kamu


Khalifah : Cubalah engkau beritahu kepadaku, siapa yang lebih jahat : antara aku dan Firaun?


Ulama : Firaun


Khalifah : Siapakah yang lebih baik, engkau atau Nabi Musa dan Nabi Harun


Ulama: Nabi Musa dan Nabi Harun


Khalifah : Nasihatilah aku dengan sopan kerana Firaun itu lebih jahat daripada aku, Nabi Musa dan Nabi Harun lebih baik daripada kamu, namun demikian Nabi Musa dan Nabi Harun menggunakan bahasa yang sopan ketika hendak berbicara dengan Firaun. Allah berpesan kepada keduanya , ”Maka bicaralah kamu berdua kepadanya dengan perkataan yang lemah lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut.”


Ulama: Ya , aku tahu


Khalifah : Itu adalah Fir’aun yang penuh kesombongan dan kezaliman, sementara engkau datang kepadaku dengan keadaan begitu. Aku melaksanakan kewajiban-kewajibanku terhadap Allah, aku hanya menyembah kepada Allah. 


Aku mentaati hukum-hukum, perintah dan larangan-Nya, sedangkan engkau menasihatiku dengan nada yang keras dan kata-kata yang kasar tanpa adab dan akhlak.


Ulama itu menyedari kesalahannya, lantas dia terus meminta maaf kepada khalifah.


    Dakwah masa kini memerlukan kebijaksanaan para pendakwah untuk menegur mad’unya yang pelbagai emosi dan watak. Menjadi tanggungan pendakwah untuk memikat dan melihat terlebih dahulu suasana dan keadaan madu’nya. 


Kisah tadi bukanlah semata-mata menggambarkan kepada kita akan kepentingan berlembut semasa menegur, tetapi kisah tadi lebih menekankan hikmah pendakwah semasa menegur sesuatu. 


Kadang-kadang ada yang menjadikan hujah di atas untuk menutup mulut para pendakwah supaya mereka tidak menegur pemimpin negara. Perlu difahami pemhaman yang silap seperti itu akan mewujudkan suatu keadaan di mana maksiat dan jenyah terus bermahajarela di dalam negara.


Metod dakwah sebenarnya bukanlah menjadi subjek yang dominan dalam penulisan kali ini, kerana penulis yakin bagi mereka yang membaca artikel ini sudah ramai mengetahui metod berdakwah secara berkesan, apatah lagi sudah banyak penulisan di blog-blog dan sebagainya mengenai metod dakwah yang cemerlang. 


Apa yang penulis ingin ketengahkan adalah satu pandangan sisi daripada penulis berkenaan dengan hadis nabi “berkatalah yang benar walaupun pahit”.


Seperti penulis ceritakan di awal penulisan, penulis bertemu dengan sahabat kampus di suatu kedai makanan. Perbicaraan kami, penulis mulakan dahulu dengan bertanya kepada sahabat:


Penulis : Ana rasa diuji sekarang.?


Sahabat : Apa yang enta rasakan tu.


Penulis : Ana nak gunakan pendekatan diam sahaja bila mana berhadapan dengan sesuatu isu yang berbangkit, sebab ana takut, apa yang ana akan katakan akan kembali kepada diri ana.


Sahabat : Enta kena laui semua ujian itu, sebabnya Allah nak uji enta sama ada enta buat ke atau tak apa yang enta katakan?


Penulis : Ye. Ana sedar semua tu, ana dah tahu apa kesannya bila ana cakap macam tu, dan ana juga akan bertanggungjawab terhadap apa yang ana nak katakan. Tapi ana tak tahu sama ada bila mana ana bercakap, ana dalam keadaan emosi ataupun dalam keadaan faham apa yang ana cakap. Jadi sebab tu diam sebagai jalan keluar.


Sahabat : “Berkatalah yang benar walaupun pahit”. Dan bila mana enta nak cakap seuatu, selalu ingat satu perkara ini ““Ya Allah bukan tujuan kami ini ingin mendabik dada apabila berkata-kata. Jangan Engkau uji kami seperti mereka yang hendak kami tegur ini, kerana bila mana Engkau datangkan ujian seperti mana mereka lalui ke atas diri kami, nescaya tidak ada sesiapa lagi yang akan menegur mereka.”


Penulis rasa sungguh terkesima pada malam itu, hinggakan penulis merasakan itulah kata-kata yang pertama dan terakhir penulis akan dengar. 


Perasaan yang bercampur baur dengan merasakan itulah kemanisan ukhwah yang telah terbina di atas tali Agama Allah s.w.t melebihi ukhwah yang terbina melalui hubungan di antara ayah. ibu, abang, kakak dan adik. 


Ramai di antara kita ingin menegur bila merasakan sudah cukup ilmu dan tinggi imannya, malangnya perkara tersebut merupakan alasan yang tidak bertepi bagi mereka yang belum memahami Islam secara sempurna.


Sebaik sahaja pulang daripada kedai tersebut, penulis mula memikirkan apa yang dimaksudkan dengan haids tersebut dalam konteks tafsiran yang berlainan. Mudah sahaja jika mahu menafsir hadis tesebut berdasarkan makna yang kita sedia maklum iaitu berkatalah yang benar walaupun ramai orang tidak suka. 


Memang benar sekali maksud ini kerana ia menjadi motivasi asas kepada seorang pejuang haraqah. Namun penulis cuba ingin menyelami maksud hadis ini demi memenuhi kehendak hati yang mahukan pandangan yang berbeza. 


Alhamdulillah penulis akhirnya menemui satu titik pandangan kepada persoalan tersebut, iaitu maksud yang penulis kehendaki adalah berkaitan dengan hati dan mujahadah diri. Diam juga menggambarkan kebodohan seseorang itu jika dia tidak mahu berkata-kata dalam keadaan dia sudah memahami. 


Apa yang penulis rasakan, melalui hadis ini ialah kesanggupan dan kerelaan diri untuk berkata-kata, walaupun sudah mengetahui kesan dan bebanan yang terpaksa dilalui iaitu satu pantulan ujian daripada Allah s.w.t kepada apa yang kita katakan atau tergurkan.


Penulis sedikt sebanyak telah berprasangka kepada Allah s.w.t sedangkan kita sebagai hamba dilarang untuk berprasangka kepada Allah. Bagi melengkapkan kesempurnaan pandangan kepada pesoalan ini, penulis terus berpegang kepada nasihat daripada sahabat penulis iaitu semua tindakan dan kata-kata kita perlu bergantung terus kepada Allah. 


Walaupun kita akan tahu akibat dan kesan daripada apa yang kita katakan, namun kepada Allah s.w.t sajalah kita sandarkan dan berdoa supaya tidak ditimpa ujian seperti apa yang kita katakan, kerana sesungguhnya jika niat kita ikhlas mengharapkan keredhoaan Allah, nescaya Allah akan selamatkan kita daripada pantulan ujian. 


Yang lebih penting janganlah bersifat terburu-buru dalam berkata-kata kerana terburu-buru itu merupakan salah satu sifat Syaitan.


Kalau nak diikutkan pengalaman penulis, sudah banyak pengalaman-pengalaman pantulan ujian yang pernah penulis lihat dan adakalanya pernah alami. 


Suatu ketika dahulu penulis sungguh kagum dengan salah seorang kawan penulis kerana keberaniannya menegur budaya couple, sayangnya lebih kurang dua bulan selepas itu, dia pula yang bercouple. 


Mungkin inilah dikatakan pantulan ujian daripada Allah s.w.t dan kita berlindung daripada Allah s.w.t daripada terkena ujian yang serupa. Begitulah juga budaya kafir mengkafir, menunding jari mengatakan orang itu sesat dan sebagainya dan akhirnya orang itu juga turut tersesat bersama-sama dengan orang-orang yang sesat. 


Mengakhiri penulisan kali ini, mencegah kemungkaran itu perlu dan wajib bagi setiap insan yang bergelar muslim sama ada dengan menggunakan kuasa, kata-kata dan hati asalkan niat dan tindakan kita bukanlah bertujuan untuk mendabik dada di samping kita perlu senantiasa berdoa dan berharap kepada Allah s.w.t agar kemungkaran yang kita tegur tidak terpantul semula kepada diri sendiri. -Wallahualam-