Berkesempatan bersama-sama teman seperkampungan untuk menikmati resepi ayam goreng Radic Fried Chicken (RFC) sebagai makanan alternatif kepada KFC sedikit sebanyak memberikan kami ruang untuk berbincang mengenai isu-isu keagamaan yang bersifat setempat dan nasional.
Peluang ini digunakan sebaik-baiknya oleh kami berempat ketika itu untuk saling bertukar pendapat. Menariknya ada satu kisah yang diceritakan oleh teman saya mengenai kisah di antara ayah dan anak yang ingin bertaubat.
Menggunakan metod yang kelakar untuk menyampaikan nasihat dalam cerita ini menyebabkan kami tidak “kering gusi” mendengar cerita tersebut. Pastinya terdapat input yang berguna dalam cerita seperti ini.
Dipendekkan cerita, kisah di antara bapa dan anak yang jahil terhadap ilmu agama yang ingin bertaubat daripada kesalahan. Mereka berdua ini diberitakan suka menipu kebanyakan orang.
Takdir Allah s.w.t isteri/ibu si ayah dan anak ini pergi meninggalkan mereka terlebih dahulu kerana mengalami sakit yang berpanjangan hingga membawa kepada maut.
Selepas memberitahu penduduk kampung tentang musibah yang melanda mereka, dek kerana tabiat mereka yang suka menipu tiada sesiapa pun yang ingin membantu si ayah dan si anak ini untuk menguruskan jenazah ibu/isteri mereka.
Entah macam mana jenazah ibu/isteri mereka siap untuk disembahyangkan oleh mereka. Lantas dua anak beranak ini pun berkata di antara mereka
Anak : Pak, macam mana nak sembahyang jenazah emak ni? Macam mana kita nak letak kedudukan emak ni, sebelah kiri ke sebelah kanan.
Ayah : Kita sembahyang sajalah.
Sesudah selesai solat jenazah, lantas si ayah berkata kepada anaknya,
Ayah : Ish2, Pak rasa kita ni kena bertaubatlah dari sekarang, tengoklah sekarang nak uruskan jenazah mak hang pun kita tak tahu. Kita ni dah la banyak menipu orang.
Anak : Cek(kata ganti diri pertama untuk orang utara) rasa pun macam tu juga. Tak pa lah, kalau macam tu, esok kita pergi ke sungai dan terjun ke dalam sungai untuk kifarah dosa-dosa kita.
Pada keesokan harinya, kedua-dua anak beranak itu pun pergilah ke sungai untuk menebus dosa-dosa mereka yang suka menipu orang. Berkatalah sesama mereka
Ayah: Sekarang ni, Pak nak hang terjun dulu sebab hang ni orang muda. Jadi orang muda kena hormat orang tua.
Anak : Mana boleh macam tu Pak, Pak dah hidup lama, cek baru ja hidup, lagipun pak dah banyak menipu orang, cek baru ja belajar menipu orang daripada Pak, jadi Pak lebih banyak dosa daripada cek.
Ayah : Betul juga kata hang ni, ok tak pa, Pak ikut cakap hang, Pak terjun dulu.
Si ayah pun terjunlah ke dalam sungai untuk menebus dosanya yang lalu. Bila mana si ayah ini terjun ke dalam sungai, tiba-tiba baju si ayah ini tersangkut pada akar pokok di dalam sungai menyebabkan si ayah ini tidak timbul-timbul di permukaan sekian lama.
Si anak pun hairan dengan kejadian tadi hinggakan dia berkata-kata dengan diri dia “pak aku ni tak timbul lagi ni, mungkin banyak sangat dosa-dosa menipu pada orang ramai, memang betul la pak aku ni taiko pembohong”
Selang beberapa lama, si ayah ini berjaya melepaskan diri daripada tersangkut daripada akar pokok tersebut. Dia pun berkata pada anaknya,
Anak : Kenapa dengan Pak ni, lama benar nak timbul balik, banyak juga dosa Pak. Macam mana Pak, dosa Pak dah diampunkan belum oleh Allah.
Ayah : Alhamdulillah, dosa Pak dah diampunkan. Dalam sunagi tu ada bermacam-macam kedai, sebagai tanda kesyukuran Pak, Pak singgah ke kedai roti canai dan makan kat situ. Sedap juga rotinya. (sempat lagi berbohong). Ok, sekarang ni giliran hang pula terjun.
Anak : Bagus la macam tu, ok cek nak terjun ni.
Si anak pun terjunlah ke dalam sungai pula, dan bila mana si anak sudah terjun, kepalanya terhantuk dengan batu di dalam sungai. Lantas dengan cepat si anak timbul dan berkata dengan ayahnya.
Ayah : Awal benar hang timbul, dosa hang sikit tak pa la.
Anak. Aduihhhhhhhh.... Pak kepala cek, kena baling dengan satu benda keras.
Ayah : Sebab apa
Anak : Sebab Pak la, makan roti canai kat kedai dalam sungai tadi tak bayar. Akhirnya tauke kedai tu kejar cek dan baling batu, kena kepala cek.
Kisah ini sedikit sebanyak menggambarkan kejahilan kedua anak beranak tentang ilmu agama sehinggakan membawa kepada mudharat kepada diri sendiri. Sudah dikenali dengan tabiat pembohong, walaupun mereka ini mempunyai hubungan darah yang kuat, tetapi perkara tersebut tidak menjamin kebenaran dalam bercakap.
Moralnya jelas kepada kita, bahawasanya masa yang ada ini cubalah untuk mencari pengetahun tentang ilmu agama sebanyak mungkin untuk diimplimentasikan kepada masyarakat setempat, bahwa peri pentingnya pengetahuan agama untuk memandu perjalanan hidup masyarakat apatalah lagi sekiranya ia melibatkan soal ekonomi, politik, undang-undang dan lain-lain lagi.
Apa-apa pun mungkin kisah ini dikatakan menjadi modal penceramah untuk memberikan tazkirah kepada oramg ramai untuk menarik minat pendengar, namun hakikatnya masyarakat seperti ini memang wujud di negara kita, hinggakan ramai anak-anak muda disebabkan kurangnya pengetahuan agama akhirnya membawa kepada gejala murtad yang berleluasa.
Peranan kita sekarang ini hendaklah membumikan ilmu agama sebagai teras pembangunan modal insan kelas pertama yang bermula kepada institusi keluarga hingga ke peringkat kerajaan. Saya akhiri penulisan ini dengan serangkap pantun
Siakap senohong
Gelama ikan duri
Bercakap bohong
Lama-lama jadi pencuri
Wallahu’alam