Friday, August 19, 2011

1 Ramadhan Vs 27 Ramadhan


1.Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,

2. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

3. Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

4. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

5. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! 

10 malam terakhir Ramadhan dapat mengingatkan kita tentang suatu malam di mana ia lebih baik daripada 1000 bulan, dan sekiranya kita mendapat malam tersebut seolah-olah kita telah beribadah melebihi 83 tahun. Ketahuilah malam yang disebutkan itu merupakan “Malam Al-Qadr”.


Sungguh adil dan kasih Allah s.w.t  terhadapat umat Nabi Muhammad s.a.w yang telah dikurniakan malam ini untuk memperlipat gandakan pahala kerana seperti yang kita maklum umur umat ini tidak mampu untuk melakukan ibadat seperti umat-umat yang terdahulu, di mana mereka hidup di atas muka bumi ini ratusan dan ribuan tahun lamanya.

Umat nabi Muhammad s.a.w merupakan umat yang mempunyai umur yang boleh dikatakan pendek kerana rata-rata umat ini meninggal di waktu usia 60-70 tahun, dan kalau ada pun yang melepasi usia sebegini hanya segelintir sahaja.

Malam Al-Qadr merupakan malam yang dinantikan oleh seluruh pencipta ibadah kerana di situ terdapat kelebihan yang banyak sekiranya kita dapat melakukan ibadah di samping para Malaikat turun bercurah-curah ke atas muka bumi untuk memakbulkan doa hamba-hambaNya.          

Momentum ibadah kita seharusnya dikekalkan untuk memastikan kita tidak terlepas daripada melakukan ibadah-ibadah wajib mahupun sunat pada 10 malam terakhir ramadhan seperti solat sunat tarrawih, qiamulail, bacaan al-quran dan sebagainya.

Bagi mereka yang sudah menzalimi ibadah sunat seperti ini, ia sudah menjadi kebiasaan kerana bukan di bulan ramadhan sahaja perlu dilakukan amalan ini, tetapi tetap juga pada bulan-bulan yang lain, cuma bezanya bulan-bulan lain tidak ada solat sunat tarrawih.

Bagi saya bulan ramadhan bukannya bulan untuk kita memperbanyakkan ibadah, ia sebenarnya peluang kita untuk memperolehi pahala ibadat yang digandakan, kerana dasar kefahaman dan istiqamah kita untuk mengerjakan amalan sunat pada bulan lain telah dilaksanakan dalam kehidupan mukmin seharian.

Jika diberi pilihan antara 1 ramadhan dengan 27ramadhan, nescaya saya akan pilih 27 ramadhan kerana di situ terletaknya malam al-qadr. Bukan saya nak katakan 27 itu adalah malam yang semestinya malam al-qadr, cuma artikel ini bertujuan untuk memanjangkan sudut pikiran kita yang lebih literal.

Bukankah 27 ramadhan itu terletak di antara 10 ramadhan yang terakhir.? Sama-sama kita fikirkan. Fenomena 1 ramadhan dan 27 ramadhan sungguh berbeza sekali saban tahun kerana, di awal ramadhan masjid-masjid begitu ramai sekali manusia datang untuk melakukan ibadah solat berjemaah dan solat sunat tarrawih, tetapi di akhir ramadhan jumlah manusia yang datang ke masjid mulai susut.

Saya sering mendengar alasan-alasan yang agak memberikan peluang untuk akal ini berfkir di mana 10 ramadhan yang terakhir ini ramai pakcik-pakcik, makcik-makcik sedang sibuk membuat kuih muih dan persiapan raya yang lain di mana ada di antara mereka mengejar lailatul qadr, tetapi sebahagian lain pula mengejar lailatul qamdar.

Sejenak saya berfikir kekadang membuatkan alasan ini ternampak konkritnya, tetapi bila pengamatan digunakan dalam berfikir alasan ini hanya satu sindiran dan guraun kepada mereka yang bersungguh-sungguh melakaukan amal ibadat di awal ramdhan tetapi kecundang di akhir ramadhan. 

Masakan tidak cukup untuk kita melakukan persiapan perayaan kerana masa yang Allah kurniakan kepada kita sudah cukup untuk kita gunakan untuk tujuan-tujuan yang lain. Pastinya ia terpulang pada kita untuk menggunakannya secara cekap.

Wahai saudara-saudaraku sesungguhnya janganlah kita terlalu bolot dalam mencari pahala, kerana Allah tidak jemu untuk memberi pahala kepada hamaba-hambanya, tetapi manusia akan cepat jemu untuk melakukan pahala.


Kerana itu kekalkanlah momentum untuk melakukan ibadat ramadhan walaupun ia bermula dengan ibadat yang kecil kerana
Nabi Muhammad pernah berkata, (Amal yang paling disukai Allah adalah amal yang dilakukan secara terus menerus sekalipun sedikit (HR Bukhari
dan Muslim daripada Aisyah). Wallahualam.