Monday, August 15, 2011

SKPM 6 MERAH 2001

5 Merah Tahun 2000
Izinkan saya mulakan kalam ini dengan mengembalikan pemikiran kita sejenak mengenai sirah nabi Muhammad s.a.w. Antara faktor yang membawa kepada pembukaan Fathul Mekah adalah kerana rasa rindunya nabi serta kaum muhajirin yang berasal daripada Mekah terhadap sanak saudara, keluarga, sahabat handai dan tempat kelahiran masing-masing.


Teman-temanku, tanpa disedari kita telah menjangkau di usia kedewasaan di kala seolah-olah baru sahaja semalam kita bersama menelaah buku untuk menghadapi badai UPSR 2001. Realitinya sekarang kita telah berada di usia 22 tahun dan semestinya kita mempunyai perancangan kehidupan yang panjang untuk meneruskan kehidupan di dunia ini yang penuh dengan mehnah dan tribulasi. 

Saya yakin dan percaya , kita semua telah mengetahui apa yang patut kita lakukan dalam hidup ini, sama  ada kita mahu menjadi ahli akademik, ahli profesional, ahli perniagaan mahupun orang yang berjaya dalam bidang kekeluargaan. Walaupun siapa kita dan apa yang bakal kita jadi, tentulah ia dinisbahkan dengan kejayaan yang cemerlang pada pandangan manusia terlebih lagi kepada keluarga kita di perkampungan.

Bila mana melihat respon-respon yang menggalakkan di group FB “~Bekas Pelajar SKPM~” membawa diri ini untuk menulis artikel kepada teman-teman sekalian. Sukanya saya ingin mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat lagi berhubung di alam maya ini, dan ianya sedikit sebanyak memberi peluang kepada kita untuk mengetahui perkembangan diri masing-masing. 

Cukup cantik idea untuk membuat “Reunion” bagi mengumpul semula semua bekas-bekas pelajar 6 Merah 2001, kerana bagi saya reunion ini menjadi  jambatan sesama kita untuk merapatkan lagi hubungan jalinan sillaturrahim  apatah lagi ia menjadi amalan agama Islam yang perlu dititikberatkan. 

Untuk pengetahuan, reunion bukanlah adat kekampungan, tetapi ia menjadi simbolik kepada kuatnya hubungan alumni sesuatu  organisasi/institusi pembelajaran. Mesti kita semua pernah mendengar sekolah-sekolah yang terkemuka seperti, Malay College Kuala Kangsar (MCKK) yang saban tahun akan membuat reunion kerana mereka mempunyai hubungan alumni yang kuat. 

Sekiranya hubungan yang kuat ini ada sesama kita, ia mampu memberikan kesan sama ada dari konteks pertolongan, penyelarasan maklumat semasa dan menyampaikan hasrat sesama alumni. Alangkah baiknya perkara ini dapat diimplimentasikan oleh kita sebagai “Bekas Pelajar SKPM 2001”. Adakalanya bila kita melihat rakan-rakan kita di SKPM sewaktu ketika dahulu, akan membuatkan hati kita tercuit dek gelagatnya di bangku sekolah, maklumlah pada ketika itu kita semua masih lagi setahun jagung dan tidak mempunyai kekuatan kematangan untuk bertindak dan berfikir. Itulah pahit manis di alam bangku persekolahan yang mengingatkan kita sebagai manusia kita tidak  dapat lari daripada fitrah kekanak-kanakan.

Harapnya ramailah teman-teman SKPM 2001 dapat mengambil partisipitasi untuk reunion pada tahun ini kerana kalau tidak silap kali terakhir kita menghadiri reunion ini pada tahun 2002 di SKPM, dan selepas itu sudah hampir 10 tahun kian lamanya kita tidak bersua. 

Ambillah kesempatan yang ada pada tahun ini ditambah pula di bulan Syawal yang mulia untuk kita bertemu bagi memohon-maaf dan menceritakan sekumit pengalaman bagi menjadi inpirasi terhadap kejayaan kita secara bersama dalam merancang kehidupan ini. 

Mudah-mudahan dengan pertemuan pada kali ini menjadi pertemuan yang bermakna buat kita semua serta mendapat keredhoaan daripada Allah s.w.t, kerana bukankah bagi mereka yang bertemu dan berpisah kerana Allah tergolong daripada 7 golongan yang mendapat syafaat daripada Allah s.w.t di Padang Mahsyar kelak.

Akhir kalam, saya memohon ribuan kemaafan sekiranya artikel ini telah membuatkan teman-teman sekalian kurang selesa dan tidak mencapai objektifnya, kerana pena ini adalah untuk diri sendiri dan dipanjangkan kepada kalian untuk difikirkan secara bersama. Wallaualam



  “kita terbina daripada sel, dan daripada sel itu terbinalah organ, manakala organ itu akan membentuk sistem, lalu sistem itu pula akan membentuk manusia” ~live to give~