Saturday, September 10, 2011

Isteri Taat Vs Isteri Agama

Membawa diri saya dan teman di perkampungan berbincang mengenai pemilihan isteri bertudung atau tidak bertudung yang mana menjadi pilihan di hati, membuatkan saya cuba bersedia untuk menerima satu pandangan oposisi yang lain daripada pengetahuan yang pernah saya terima.

Memandangkan teman saya ini lewat 20-an dan lebih berumur, saya bertindak sebagai individu yang pasif dan tidak memberi respon terhadap pendapat beliau. Berkata benar pun tidak, berkata salah pun tidak, itulah pendirian saya bila dia mengemukakan pandangan.

Bagi saya apa salahnya saya mendengar dahulu pandangan beliau, memandangkan beliau ketika dulu ingin memilih isteri yang solehah atau kategori bertudung labuh. Hampir 9 bulan tidak ketemu, persepsi beliau berubah terhadap pemilihan isteri.

Teman saya menceritakan apa yang membuatnya berubah untuk memilih isteri adalah berdasarkan pengalaman seorang guru yang menceritakan kepada beliau tentang pemilihan isteri.

Cikgu tersebut menceritakan kepada teman saya mengenai pengalaman beliau memilih isteri. Cikgu itu berkata “dulu isteri saya tidak bertudung, sekarang tengoklah sudah bertudung labuh.”

Memang benar kata-kata cikgu tersebut, sebab saya sendiri berkesempatan untuk pergi ke rumah cikgu tersebut, kerana saya mengenali cikgu tersebut melalui kenalan saya.

Dek kerana cikgu tersebut mempunyai pengalaman yang banyak dan suka membantu orang, boleh dikatakan beliau menjadi tumpuan rujukan masyarakat termasuk bekas anak muridnya dalam sesuatu perkara terutama berkaitan dengan kemahiran kehidupan.

Hasil didikan cikgu tersebut membuahkan hasil bila mana saya melihat isteri beliau yang sentiasa taat dan mempunyai akhlak yang tinggi dan juga mampu membawa anak-anak mereka kepada perkara yang sama.

Teman saya memberitahu pada saya yang mana dia meletakkan isteri yang taat menjadi pilihan. Katanya bukan dia tidak mahu memilih wanita yang bertudung labuh untuk menjadi isteri, cumanya kekadang mereka yang bertudung labuh ini agak egoistik dengan ilmu yang diperolehi.

Bagi teman saya, memilih isteri yang taat walaupun tidak bertudung, lama kelamaan dapat dibentuk peribadi dan pengetahuan agamanya untuk diamalkan dalam kehidupan seharian, seperti mana contoh cerita cikgu di atas.

Saya hanya mampu terdiam terhadap pandangan yang diberikan oleh teman saya, bukan tidak mahu beragumentatif tetapi biarlah saya mengenal dahulu bagaimana faktor persekitaran ataupun pengalaman dapat mempengaruhi persepsi manusia.

Selepas daripada perbincangan tersebut, saya terfikir bagaimana sekiranya kalau saya berhadapan dengan orang yang serupa seramai ribuan atau jutaan orang dengan menggunakan hujah yang sama, seolah-olah mereka yang bertudung labuh ini menjadi islami fobia kepada orang ramai.

Hadis asas yang mengetengahkan soal ciri-ciri pemilihan isteri/suami yang berdasarkan kepada harta, pangkat, rupa paras dan agama sepatutnya menjadi pengetahuan bagi mereka yang mahu mendirikan rumah tangga.

Kata nabi pilihlah di antara 4 ciri-ciri ini, tetapi yang terbaik pilihlah kepada suami/isteri berdasarkan kepada agamanya. Kalau kita berkahwin suami/isteri kerana paras rupa sudah tentu mereka ini akan menjadi tua.

Kalaulah berkahwin dengan disebabkan pangkat, bagaimana sekiranya dia tidak lagi memegang jawatan yang tinggi, dan sekiranya kita berkahwin denagn dia kerana harta, bagaimamana jika ditakdirkan Allah dia jatuh kepada kemiskinan.

Saya yakin, pandangan teman saya ini adakalanya betul, tetapi saya tidak mahu pandangan beliau berjaya mendominasi pemikiran saya, kerana pasti ada makna yang benar disebalik pencarian wanita bertudung labuh sebagai isteri.

Mereka yang bertudung labuh perlu diukur dari segi ilmu dan penghayatan. Kalau hanya bertudung labuh tetapi tidak mempunyai ilmu, bagaimana untuk menjadi isteri yang taat.

Sekiranya hanya memiliki ilmu agama tetapi tidak beramal, pun sama juga jawapannya, tidak akan wujud ketaatan pada suami, kerana ketaatan pada Allah pun tidak mampu, inikan pula pada manusia

Orang yang beragama ini perlu dinilai dari dua aspek iaitu mempunyai pengetahuan tentang agama islam dan mampu untuk mempraktik dengan ilmu yang dia ada.

Pandangan saya juga sikap egoistik wanita yang bertudung labuh kepada suami disebabkan faktor sekufu yang tidak diperimbangkan.

Kekadang isteri perlu juga bersikap egoistik terhadap lelaki dek kerana kejahilan suami terhadap sesetengah pengetahuan agama. Kerana sikap suami yang ego untuk menerima teguran seorang isteri maka wujudnya persoalan ketaatan.

Sebab itu wajar untuk mencari isteri yang sekufu dari segi komitmen terhadap agama temasuk juga soal keturunan, harta, pendidikan dan lain-lain. Sekufu itu akan mewujudkan sifat saling bantu membantu antara satu sama lain kearah kebahagian rumah tangga. Wallahu'alam