Sunday, August 21, 2011

Jatuhnya Air Mata Kerana Sebuah Ukhwah


Seakan-akan mustahil untuk mencari teman sejati, tetapi apabila kaki ini mula bertapak dan melangkah di gedung ilmu, semuanya tersingkap yang mana kawan dan juga sahabat, juga antara kaca dan permata. Sering saya mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Brother “Teman Sejati” sila klik sini  dek kerana inginkan sebuah pertemuan yang mampu membawa kepada matlamat dan objektif yang jelas sebuah penghidupan.

Sebak rasanya diri ini apabila nikmat yang dikurniakan oleh Allah, bila berkesempatan untuk bertemu dengan sahabat-sahabat yang mampu memandu fikiran dan tindakan ini ke arah yang jelas. Terlibat secara langsung dengan komuniti sosial membawa diri ini perlu memahami disebalik makna ukhwah.

Mujurlah sahabat-sahabat yang berada di kampus pada ketika itu bersedia untuk membudayakan kefahaman tentang sinergi ukhwah itu. Bermula daripada berlapang dada(salamatus sodri) iaitu berbaik sangka, kemudian sama rata (Al-Musawah) dan diakhiri dengan ithar iaitu melebihkan orang lain daripada diri sendiri.

Rukun ukhwah inilah yang menjadi panduan saya untuk terus thabat di dalam komuniti sosial yang memerlukan ketahanan individu dalam memenangi sosial uniti. Akhirnya saya berkesempatan untuk mengahwinkan ilmu dan pengalaman bila mana sentiasa sahaja diri ini diberi peluang tersebut.

Pastinya subjek untuk artikel ini bukan diri saya, tetapi dipanjangkan kepada teman-teman yang begitu banyak memberi daripada menerima terhadap diri ini. Pilu rasanya saya menerima mesej-mesej yang mengatakan mereka sedia membantu “gerakan” di kala diri mereka pun pada ketika itu sangat memerlukan pertolongan.

Cakap sahaja apakah jenis pertolongan sama ada khidmat tenaga, wang dan sebagainya mereka sedia membantu kerana mereka tiada alasan untuk dikatakan kepada Allah s.w.t di padang Mahsyar kelak untuk tidak membantu.

Semangat golongan muda yang telah disebut oleh Allah s.w.t di dalam surah al-kahf yang mana intipatinya mereka ini tidak ada pangkat yang tinggi, tidak ada harta yang banyak, tidak ada ilmu yang tinggi, tetapi mereka tunduk dan akur kepada Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi.

Nah, inilah menjadi bukti bahawa masih ada mata rantai-mata rantai yang sedia membantu “gerakan” lantas ditonjolkan dalam konteks “ukwah fillah fil jannah”. Buktinya dalam sirah telah diceritakan kepada kita yang mana ada di kalangan para sahabat mati ketika dalam peperangan akibat daripada segelas air yang mana masing-masing mengutamakan  sahabat yang lain untuk minum terlebih dahulu daripada diri sendiri.

Tercalit sebuah memoir sejarah hidup saya yang tidak dapat dilupakan hingga kekadang membawa diri ini menitis air mata kerana adakah saya pun mampu untuk mengikuti langkah mereka ini dalam memberi kepada yang lain.

Sememangnya diri ini tidak kuat sekiranya tiada teman-teman yang menjadi tulang belakang kepada “gerakan” kerana pengalaman menjadi pemimpin di kampus ini adalah bertitik tolak daripada semangat kerjasama yang telah diberikan oleh mereka-mereka ini.

Persoalannya adakah pengalaman ini dapat diberikan sebaik sahaja kaki ini melangkah keluar daripada kampus untuk dibumikan pula kepada masyarakat setempat yang bakal didiami.?

Akhir kalam :

Sahabat janganlah engkau terlalu untuk bekorban,

Sebaliknya berilah peluang pada diri ini jua untuk mengikut langkahmu,

Panjatkan doamu kepadaku jua,

Agar terus berkekalan dalam memberi.......