Thursday, August 25, 2011

Tumpahnya Ketaatan Kepada Umara

Pastinya tidak ada ketaatan kepada umara (pemimpin) yang menyuruh pengikutnya kepada kemaksiatan kepada Allah s.w.t kerana pemimpin itu merupakan aset yang paling penting untuk membawa kepada kemandiran kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.


Janganlah disalahertikan maksud kepimpinan itu dengan beranggapan bahawa memimpin itu perlukan kuasa, tanpa kuasa bagaimana kita mahu memimpin. Sedarlah wahai pena, memimpin membawa erti kata bagaimana kita membimbing diri dan orang ramai ke arah nilai-nilai kebaikan, manakala memerintah pula kita menggunakan kuasa kepada orang ramai untuk mencapai hasrat dan cita-cita kita.

Sebab itulah sering sahaja kita dengar setiap kamu adalah pemimpin yang mana sekurang-kurangnya pun kita adalah pemimpin kepada diri sendiri. Saya panjangkan pena ini bukanlah untuk menghurai maksud kepimpinan, kerana lebih mahir lagi sidang pembaca daripada saya dalam menghayati kefahaman kepimpinan.

Saya sering membawa pemikiran ini berfikir tentang masalah kepimpinan semasa yang sering berlaku. Jawapan di akhir persoalan ini sering kali terungkap kata-kata daripada seorang teman yang menceritakan bagaimana dialog di antara Saidina Ali dengan pengikutnya.

“Wahai Saidina Ali mengapakah di zaman engkau sering berlaku perpecahan di antara kaum muslimin sedangkan di zaman Amirul Mukminin Saidina Umar keadaan umat berada dalam keadaan sejahtera dan aman.” Kata Saidina Ali, semasa di zaman Saidina Umar aku adalah pengikut, tetapi pada zaman aku, kamu adalah pengikut.

Mutiara hikmah ini sering berbisik kepada diri ini, ‘adakah engkau sebahagian daripada pengikut yang menjadi punca kepada perpecahan’. Hidup dalam era generasi “Y” membawa diri saya terdedah kepada persoalan dan argumentatif dengan masyarakat sekeliling, hinggakan kekadang  diri ini sukar untuk menerima keputusan sebelum diketahui objektif yang jelas.

Ku panjatkan kesyukuran kepada Allah yang maha kaya dalam memberi nikmat kepada diri ini di atas petunjuk kepada kematangan dalam bertindak dan berfikir. Diberi kesempatan bersama dengan seorang teman untuk membedah seketika diri masing-masing tentang peranan jundiyah untuk mengizahkan qiadah.

Sering kali “qiadah” dipersoalkan peranan mereka dalam membuat keputusan kerana keputusan itu akan dikaitkan dengan peribadi seseorang qiadah itu. Sepatutnya di zaman ledakan akademik, mengapa pertimbangan keputusan itu tidak diletakkan kepada pertimbangan ilmiah. Inilah menjadi punca kepada retaknya hubungan di antara qiadah dan jundiah.

Tempatkan thiqah itu kepada “qiadah” kerana kita mendambakan keputusan yang berkat lagi diredhoi oleh Allah. Ya, setiap manusia itu ada kelemahannya, kerana itu kita ditempatkan di situ untuk mengisi kelemahannya dan bertindak saling lengkap melengkapi. Kelemahan kita adalah kekuatan dia, manakala kekuatan kita adalah kelemahan dia.

Mengakhiri pena ini, jadilah pengikut yang sedia membantu qiadah dalam apa jua keadaan, walaupun perselisihan pendapat  itu wujud di antara dua insan, jernihkanlah dengan sifat mencari titik persamaan kepada matlamat yang sama. Wallahualam..

Baiatku kepada umara:

Hatiku sedih sekiranya engkau terluka

Kerana engkau lebih besar dalam menanggung kesedihan,

Nasihatilah aku ketika mana terlanjur kata dalam berbicara denganmu,

Aku masih belajar untuk menjadi jundiyah,

Yang sedia wala kepada perintahmu,

Kepada kemenangan Islam yang sudah pasti kelak....