Ditanya oleh seorang sahabat di perkampungan tentang pengamalan demokrasi oleh sesetengah Parti Islam di Malaysia dalam menentukan pimpinan parti. Persoalan yang dikemukakan, mengapa politik Islam mengamalkan sistem ini sedangkan kita mempunyai sistem syura sebagai alternatif dalam menentukan pimpinan Islam.
Saya tidak mampu membawa hujah yang konkrit kepada teman saya, tetapi saya cuba bertindak sebagai penyampai yang baik untuk mengaitkan demokratik parti Islam tentang sejarah islam lampau.
Cuma sebelum saya memberitahu kepada teman saya, dari segi demokratiknya saya cuba sampaikan kepada beliau yang entah betul ataupun tidak, bahawasanya setiap kita mempunyai hujah yang tersendiri untuk melantik pimpinan islam, dan kita semua tidak sama dalam menilai pemimpin islam.
Dipendekkan cerita, saya membawa kisah sedikit sebanyak yang diketahui tentang perlantikan khalifah ar-rasyidin selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w.
Sebaik sahaja baginda wafat, Abu Bakar dan Umar Al-Khatab terus bergegas ke Saqifah Bani Saadah iaitu dewan mesyuarat yang terletak berhampiran dengan masjid Nabawi untuk menentukan siapakah yang bakal menjadi khalifah sebagai pengganti baginda bagi meneruskan soal pengurusan negara, ummah, dan politik.
Bukannya Abu Bakar dan Umar gilakan jawatan sehingga tidak bersama-sama untuk menguruskan jenazah baginda, tetapi mereka mempunyai keutamaan yang lebih tinggi berkaitan dengan permasalahan pemimpin ummah islam yang perlu diselesaikan dengan segera.
Terdapat tiga pandangan mengenai siapakah yang bakal menjadi khalifah. Bagi golongan Ansar, mereka mencadangkan Saad Bin Ubadah sebagai khalifah umat Islam.
Mereka mengemukakan hujah semasa tamatnya Ghazwah Hunain apabila berlakunya sedikit konflik pemberian harta ghanimah, di mana nabi Muhammad s.a.w melebihkan pemberian harta tersebut kepada kaum Mekah berbanding kaum Madinah.
Adalah nabi pernah berkata sekiranya golongan ansar melalui sesuatu lorong, nescaya aku(nabi Muhammad) akan mengikuti bersama mereka.
Hujah seterusnya adalah mereka layak menjadi khalifah kerana nabi pernah bersabda “dengar dan taatlah pemimpin walaupun ia dilantik dari hamba habsyi.”
Golongan ansar juga berhujah yang mana mereka menjadi pengikut yang setia kepada perjuangan Rasulullah s.a.w sehinggakan negara Islam berjaya dibina di bumi Madinah.
Pendapat ke dua pula datang daripada Ahlul Bait (keluarga nabi iaitu bani hasyim dan bani Mutalib) yang mana mereka melantik Saidina Ali sebagai kalifah.
Hujah mereka berdadarkan sabda nabi semasa baginda berangkat ke Perang Tabuk yang mana Ali ditinggalkan untuk menjaga Madinah.
“Tidakkah engkau suka kedudukan engkau seperti nabi Harun yang sentiasa berdamping dengan Musa. Tetapi selepas aku tiada lagi nabi, jika ada kaulah nabi selepas aku. Saidina Ali juga mempunyai kekuatan dari segi ilmu dan keberanian ketika berperang.
Pendapat ke-3 pula datang daripada kaum Quraisy yang mana pemimpin hendaklah dilantik daripada Quraisy. Pendapat ini datang daripada Saidina Abu Bakar.
Pemimpin itu bukan sahaja perlu ada ilmu tetapi mereka perlu mempunyai pengaruh dan didokong oleh kabilah yang kuat. Abu Bakar mencadangkan Saidina Umar Al-Khatab dan Abu Ubaidah Al-Jarrah sebagai khalifah.
Lantas mereka berdua bangun dan mencadangkan Saidina Abu Bakar menjadi khalifah. Pada ketika itu majoriti yang hadir menyokong Saidina Abu Bakar sebagai khalifah.
Saidina Abu Bakar merupakan orang yang menjadi pengiring nabi ketika hijrah dan menjadi Imam solat ketika baginda sedang uzur. Imam solat merupakan tiang agama umat Islam, dan hujah inilah menjadi penguat kepada perlantikan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah pertama umat islam.
Saya bawakan juga hujah perlantikan Saidina Uthman di mana perlantikan Saidina Uthman juga berdasarkan bilangan majoriti. Umat islam ketika itu memilih Saidina Uthaman berbanding Saidina Ali ketika dalam undian majoriti untuk menjadi khalifah ke-3.
Membuatkan saya teringat apa yang dikatakan oleh kenalan di UKM tentang perbezaan sistem demokrasi Parti Islam di Malaysia dengan pengamalan demokrasi pilihan raya umum iaitu perbezaan datang dari segi siapa yang layak untuk mengundi pemimpin.
Dalam pengamalan sistem demokrasi di Malaysia, untuk memilih pemimpin undian itu datang daripada seluruh rakyat yang mempunyai latar belakang kehidupan, pendidikan, prinsip, ideologi.
Manakala pengamalan sistem demokrasi Parti Islam di Malaysia hanya perwakilan dan sesetengah ahli sahaja yang berhak untuk mencadangkan pemimpin islam.
Walaupun ia tidak termasuk dalam “Ahlul Wal Aqdi”, tetapi mereka yang berhak melantik pemimpin Islam adalah terhad bilangannya dan sedikit sebanyak mereka ini ada pengetahuan asas islam untuk memilih pemimpin.
Pun begitu, pandangan saya, sistem demokrasi Parti Islam ini tidaklah sempurna, cumanya kita berharap akan ada pemurnian sistem ini ke arah yang lebih matang dan sempurna pada masa mendatang.
Sebaik-baiknya sistem ini ada hujah yang tersendiri berdasarkan apa yang saya nyatakan di atas tentang perlantikan khalifah islam yang menggunakan pendekatan majoriti untuk melantik khalifah. Wallah'alam