Tuesday, August 30, 2011

Impak Khutbah Pertama Aidil Fitri

Tahun 2011 banyak memberikan inspirasi kepada pena untuk melakukan sesuatu supaya dapat meningkatkan lagi kefahaman sosialisasi. Maka pena pada hari ini ingin melebarkan tinta untuk dihayati buat diri sendiri.

Memandangkan syawal pada tahun ini jatuh pada bulan kemerdekaan, maka khutbah hari raya pada tahun ini dilandasi dengan penghayatan kemenangan umat islam selepas melalui Universiti ramadhan dan juga erti sebuah kemerdekaan di Malaysia.

Saya telah menerima mesej daripada seorang teman berkaitan intipati khutbah hari raya yang disampaikan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang “ Tiada kemerdekaan sebenar tanpa pengabdian diri kepada Allah s.w.t selagi mana syariat Islam tidak dilaksanakan sepenuhnya, bermakna perjuangan kita belum selesai”

Kembali sejenak kepada peperangan Qadisiyyah yang dipimpin oleh Saad bin Abi Waqas menentang tentera Parsi yang dipimpin oleh panglima Rustum. Rabi’ Bin Amir ditugaskan sebagai utusan untuk berjumpa dengan Rustum bagi tujuan rundingan terlebih dahulu sebelum peperangan terjadi.

Ketika Rustum bertanya, “Apa tujuan kalian?” dengan tegas Rabi’ menjawab, “Allah telah mengutus kami untuk membebaskan orang-orang yang dikehendaki-Nya dari penyembahan sesama manusia menuju penyembahan Allah semata, dan membebaskan manusia dari kesempitan hidup dunia menuju kelapangan hidup di akhirat, dan dari penindasan berbagai agama yang sesat menuju agama Islam yang penuh keadilan.
 
Inilah intipati yang boleh saya kaitkan dengan khutbah hari raya di kampung hari ini, di mana khatib pada hari ini menekankan soal kemerdekaan yang sebenar kepada kami bermula daripada pembebasan penjajah secara total termasuk ideologi, perundangan, politik dan lain-lain lagi.

Memandangkan khatib di kampung saya tidak menggunakan teks yang diberikan oleh kerajaan negeri yang mana beliau mengambil pendekatan menggunakan teks sendiri untuk menyampaikan khutbah, kerana pandangan saya terhadap beliau, khatib tersebut perlu menyampaikan sesuatu di khalayak ramai mengikut keadaan semasa masyarakat di kampung ini.

Kiranya peluang yang terbaik bagi khatib tersebut berkhutbah di hadapan masyarakat yang datang berpusu-pusu ke masjid , kerana peluang ini sukar diperolehi untuk menekankan soal penghayatan Islam sebagai Ad-Din(cara hidup) kepada sistem kekeluargaan khasnya.

Sistem pemantauan ibu bapa yang tidak berkesan dalam memastikan anak-anak tidak terlibat dengan gejala maksiat seperti zina tutrut diberi perhatian oleh khatib. Di mana khatib membawa senario yang selalu dilakukan oleh masyarakat iaitu membenarkan anak-anak dibawa oleh lelaki atau perempuan ke mana sahaja tanpa ikatan yang sah.

Turut diketengahkan juga pemakaian aurat yang tidak sempurna di kalangan anak-anak muda, menyumbang kepada berlakunya gejala zina yang berleluasa dewasa kini. Kehidupan masyarakat yang menganggap bahawasanya semua perkara tersebut merupakan perkara biasa di dalam menyambut hari raya menunjukkan pembelajaran agama di sekolah-sekolah hanyalah untuk  kemegahan dunia dan bukannya satu pendidikan untuk dihayati.

Penghayatan semasa menjalani ibadah puasa di bulan ramadhan seharusnya dikekalkan di bulan-bulan yang lain seperti solat yang cukup 5 waktu dan solat secara berjemaah.  Ramai di kalangan kita tidak mampu untuk membawa momentum ramadhan di bulan-bulan lain yang akhirnya membawa kepada peninggalan solat fardhu dan solat jemaah.

Resolusi diakhir khutbah tersebut diakhiri dengan pendekatan supaya ditegakkan syariat islam sepenuhnya dalam semua aspek, sebagai contoh perlaksanaan hukum hudud yang mampu untuk membendung jenayah sosial seperti mencuri dan zina.

Sudah tiba masanya untuk ditegakkan hukum Allah di atas muka bumi ini selepas berlakunya pertembungan ideologi manusia yang tiada berkesudahan untuk menangani kebejetan manusia.

Ideologi manusia tidak mampu untuk menawarkan alternatif yang mapan dalam menangani isu jenayah sosial, dan inilah masanya untuk kita melakukan perubahan dalam soal perundangan negara.

Kita umat islam mempunyai identiti serta acuan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dalam membina tamadun negara. Soalnya sekarang rakyat Malaysia perlu menyambut seruan mereka yang mendokong cita-cita untuk memperjuangkan syariat ini sebagai penyokong atau pendokong.

Lalu terungkaplah baitku kepada diri:

Ramai sudah mereka-mereka yang menyeru kepada syariat islam,

Wahai diri sedarlah,

Usaha ini memerlukan komitmen masa dan tenaga,

Sambutlah seruan ini sebagai pendokong,

Jadilah pendokong yang tetap sabar dan thabat menempuh mehnah dan tribulasi,

Agar kau bisa menjadi anak muda yang berjiwa besar,

Sebagai perintis kepada pengislahan ummah....