Sunday, August 28, 2011

Solat Berjemaah : Siri 1


Solat berjemaah seperti mana yang kita tahu merupakan teras kepada pembangunan tamadun, yang mana boleh saya katakan maju dan runtuhnya sesebuah masyarakat itu bertitik tolak daripada penghayatan dan amalan solat berjemaah di masjid setempat.

Penulisan kali ini ingin mengajak diri untuk berfikir tentang kekuatan solat berjemaah di masjid dan bukannya solat berjemaah di rumah-rumah bersama keluarga, kerana pena ingin membawa satu pandangan yang berbeza dengan kebanyakan pakar motivasi yang mana mereka lebih menganjurkan solat berjemaah di rumah bersama keluarga.

Walaupun rasionalnya adalah untuk merapatkan hubungan kekeluargaan, tetapi tidakkah kalau kita melakukan perkara tersebut seolah-olah kita terlalu berkepentingan di dalam berfikir untuk diri sendiri.

Sedangkan kita diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w supaya solat berjemaah di masjid bagi memantapkan  lagi hubungan ummah yang kian berpecah dewasa kini. Ajaklah anak-anak dan isteri untuk belajar solat berjemaah di masjid dan bukannya lagi di rumah.

Dihadiahkan buku Solat Berjemaah karangan Ustaz Muhammad Subki Al-Hafiz oleh seorang kenalan di UKM membuatkan diri saya berfikir untuk merekod buku yang dibaca sebagai memoir dalam penulisan, supaya dapat beramal dan istiqamah dengan buku ini.

Kembali kepada asas gerakan Islam di mana kesemua pemimpin-peminpin gerakan islam seperti Assyahid Imam Hassan Al-Banna, Assyahid Syeikh Ahmad Yassin, Assyahid Dr Abdul Aziz al-Rantisi, dan lain-lain lagi sering menekankan solat jemaah kepada pengikut-pengikut mereka yang merupakan asas kepada kekuatan peribadi, masyarakat, ummah dan gerakan islam.

Kerana solat berjemaah di masjid merupakan sinergi yang membentuk kepada asas penghayatan islam yang syumul dengan menjadikan solat di masjid sebagai rutin harian bagi mereka yang muslimin terutama mereka yang bergelar pejuang islam.

Hukumnya sudah jelas bagi kita yang bermazhab Syafie di mana hukum solat berjemaah di masjid merupakan fardhu kifayah. Janganlah kita sering bermain dengan pantun hukum fardhu kifayah di mana “fardhu kifayah, orang buat aku tak payah”.

Kelebihannya sudah jelas di mana bagi mereka yang istiqamah solat berjemaah di masjid dengan mendapatkan takbir yang pertama selama 40 hari mereka dijanjikan oleh Allah s.w.t  dilepaskan dari sifat munafik dan api neraka.

Dalam konteks perpaduan ummah pula keseimbangan sosial akan terbentuk bila mana kita senantiasa berhadapan dengan masyarakat yang menunaikan solat berjemaah di masjid. 


Tatkala di situ kita akan bertanya khabar sesama muslim, membincangkan isu-isu semasa ummah dan juga sebagai pusat pertukaran pendapat mengenai sesuatu perkara.

Pendek kata semua perkara-perkara yang berkaitan ummah dan masyarakat setempat akan dibincangkan di masjid, dan secara tak langsung kita dapat menyelesaikan masalah yang timbul secara muafakat.

Sirah nabi juga menunjukkan tiada seorang pun sahabat yang tidak menunaikan solat berjemaah di masjid kecuali mereka yang telah dimaklumi kemunafikannya.  Tegasnya baginda dalam memberi amaran untuk membakar rumah-rumah mereka yang tidak pergi menunaikan solat berjemaah membuktikan amalan ini merupakan amalan kejayaan orang islam yang amat dititikberatkan.

Ketakutan yang dinyatakan oleh bangsa Yahudi dalam perjumpaan berkala mereka bagi membincangkan kebenaran hadis nabi yang mana kelak mereka akan dimusnahkan oleh orang Islam. Persoalan yang mereka timbulkan, siapakah gerangan umat islam itu?

Timbul resolusi mereka di akhir perjumpaan itu, yang bisa menghancurkan mereka adalah umat islam yang bangun di awal pagi untuk menunaikan solat subuh secara berjemaah di masjid.

Menysuri sirah nabi di mana nabi Muhammad s.a.w berhijrah daripada Mekah ke Madinah, nabi s.a.w pernah berhenti di suatu tempat yang bernama Quba lantas didirikan masjid Quba.
Inilah masjid pertama yang dibangunkan atas dasar ketaqwaan kepada Allah. 


Tampaknya di sini amalan solat secara berjemaah terang-terangan mula disyariatkan sebaik sahaja baginda berhijrah.

Sebaik sahaja tiba di Madinah nabi Muhammad s.a.w mencari tempat untuk mendirikan masjid yang ke-2 dek kerana Madinah akan menjadi tempat utama penyebaran dakwah islam. 


Baginda terlebih dahulu ditempatkan di rumah Abu Ayyub Al-Ansari sebagai tempat yang berdekatan dengan tapak pembinaan masjid Madinah.

Tapak masjid itu kemudiannya dibeli oleh nabi daripada pemiliknya iaitu dua orang anak yatim bertujuan untuk membangunkan masjid sebagai pusat sosial umah ketika itu.

Perlu diketahui bahawasanya jika kita mempunyai jawatan yang besar di sesebuah syarikat dan lain-lain, mahu tidak mahu kita akan kembali ke rumah  sebagai tempat istirehat, dan pastinya di tempat kita terdapat masjid yang menjadi pusat masyarkat untuk menguruskan perkara-perkara yang berkaitan ukhrawi amnya.

Masjid juga tidak terikat dengan kerangka formaliti kerana di situ semua manusia adalah sama tidak kira harta, pangkat, paras rupa, dan perlunya setiap individu dalam masyarakat setempat tersebut membangunkan masjid sebagai pusat yang pelbagai peranan untuk menggerakkan islah ummah. Wallhualam

Jom Beli Buku Solat Berjemaah